Kertaskerja ini dibentangkan di Wacana Fiqh Qurban,
Pada 14 Oktober 2012 di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi.
Oleh:
Prof Madya Dr. Azman bin Mohd Noor, Mohamad Fadzli bin Shamsuddin.
Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
PENDAHULUAN
Ibadah korban merupakan satu ibadah
yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Di dalamnya terkandung banyak hikmah.
Sejarah ibadah korban bermula pada zaman Nabi Ibrahim ketika peristiwa
penyembelihan anaknya Ismail yang telah digantikan dengan seekor kambing dengan
kuasa Allah S.W.T. Ibadah korban ini telah disyariatkan pada tahun ke-2 hijrah
seperti zakat dan solat dua hari raya. Mengikut istilah fiqh Korban atau
Udhiyah bermaksud menyembelih haiwan tertentu dengan niat mendekatkan diri
kepada Allah S.W.T, pada waktu tertentu iaitu bermula pada selesainya solat
hari raya Eid al-Adha (10 Zulhijjah) & pada hari-hari Tasyriq (11,12 &
13 Zulhijjah) kerana beribadah kepada Allah s.w.t., iaitu sebagai
menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan
kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Terdapat
banyak dalil daripada Al-Quran, Hadis dan Ijmak tentang pensyariatan ibadah korban
ini. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat berkaitan ibadah korban antaranya
firman Allah di dalam surah al-Kautsar ayat 2 ertinya:
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan
sembelihlah (Korban) sebagai (tanda) bersyukur”.
Firman Allah lagi di dalam surah
al-Hajj ayat 36 ertinya:
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah
itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang
tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa
menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang
(serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian
yang lain) kepada orang-orang yang meminta dan yang tidak meminta. Demikianlah
Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu
bersyukur”.
Selain
daripada itu, terdapat juga hadis-hadis Nabi yang menjadi dalil akan
pensyariatan ibadah korban. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari
‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah
(sembelih binantang korban), kerana ia (binatang Korban) itu akan datang di
hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke
atas ibadah Korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan
tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah
olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.”
(Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai
Hadis Hasan Gharib).
Berdasarkan
dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis para ulama’ telah bersepakat bahawa
ibadah Korban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke
atas hamba-hambaNya. Ianya merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi
Ibrahim AS berdasarkan maksud firman Allah di dalam surah al-Soffat ayat 107:
“Dan Kami tebus anak itu (Ismail)
dengan seekor sembelihan (kibash) yang besar”.
Selain itu, ibadah korban merupakan
ibadah yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang
diKorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya
ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah sebelum
darah tersebut tumpah ke bumi. Ibadah ini mengandungi banyak hikmah antaranya
ia merupakana satu tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmatnya yang tidak
terkira, dan sebagai kafarah (penutup) dosa-dosa. Selain itu, ibadah ini dapat
mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya,
yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail
sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT. Ianya
juga dianggap sebagai simbolik kesediaan hamba untuk mengorbankan apa sahaja
demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan
agama Allah yang yercinta. Di samping itu ia dapat melatih diri kita supaya sentiasa
ikhlas dalam beribadah serta melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban
bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.
HUKUM IBADAH KORBAN
Para ulama’ telah sepakat bahawa
ibadah korban merupakan ibadah yang telah disyariatkan. Namun, mereka
berselisih pendapat bekaitan hukum ibadah ini. Ada yang mengatakan ibadah ini
wajib dan ada pula yang mengatakan ibadah ini sunat. Pendapat-pendapat mereka
disokong dengan hujah-hujah yang kuat. Antara ulama’ yang berpendapat bahawa
ibadah ini wajib ialah Imam Abu Hanifah dan beberapa pengikutnya. Beliau
berpendapat bahawa ibadah Korban ini wajib sekali setiap tahun ke atas orang yang
bermukim (tetap). Pendapat mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan
oleh Abu Hurairah:
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia
untuk berKorban, akan tetapi dia tidak mahu berKorban, maka janganlah dia mendekati
tempat solat kami (masjid)” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).
Namun, Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi mengatakan ibadah korban
tidak wajib tetapi sunat muakkad.[1]
Adapun selain
daripada Mazhab Hanafi, mereka berpendapat bahawa ibadah korban adalah sunat
dengan berpandukan hadis Nabi SAW maksudnya:
“Aku diperintah
untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Dalam hadis yang lain Ibnu Abbas
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga
perkara ianya fardhu ke atasku, dan sunat ke atasmu: solat witir, menyembelih korban
dan solat dhuha”.[2]
(Hadis riwayat
Ahmad dan al-Hakim).
Berdasarkan
hadis di atas, ibadah atau amalan Korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah
SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya. Menurut pandangan Imam
Syafie dan Malik, hukum melakukan ibadah korban ini adalah sunat muakkadah
iaitu ibadah sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu
Muslim yang merdeka, berakal, baligh serta berkemampuan melakukannya sama ada
sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Pendapat mereka dikuatkan lagi dengan sabda Rasululluah SAW:
“Aku telah
diperintahkan supaya berkorban dan ianya adalah sunat bagimu”
(Riwayat Imam
al-Tirmizi).[3]
Oleh itu, boleh
disimpulkan bahawa ulama’-ulama’ mazhab berpendapat ibadah Korban dikira sama
ada sunat muakkad atau wajib. Namun begitu jumhur ulama’ berpendapat bahawa ibadah
korban adalah amalan yang sunat mu’akkad sahaja. Seseorang itu tidak akan
dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur
hidupnya.
SYARAT-SYARAT IBADAT KORBAN
Syarat sah korban:
1.
Syarat yang utama ialah seseorang
itu mampu melaksanakan ibadah korban, dan tidak dituntut bagi sesiapa yang
tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban pada hari raya Aid adha dan
hari-hari tashriq (11, 12 dan 12 Zulhijjah)[4]
2.
Syarat mukallaf untuk seseorang
melakukan ibadah korban ialah beragama Islam, merdeka, aqil baligh, bermukim
dan berkemampuan.
Syarat binatang sembelihan:
1.
Menurut ijmak ulama’ binatang yang
harus dijadikan sembelihan korban ialah di kalangan binatang ternakan (bahimah
al-an’am) seperti unta, lembu, kambing dan yang seumpama dengannya seperti
firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud:
“Dan
bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau
lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan
pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu”.[5]
Walaubagaimanapun ulama’ berkhilaf pendapat dalam menentukan
binatang mana yg lebih afdal utk dijadikan korban.
2.
Binatang yang hendak dijadikan korban
hendaklah daripada binatang yang tiada aib atau cacat seperti pincang, sangat
kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya.
3.
Usia binatang sembelihan korban adalah
berbeza mengikut jenis binatang. Unta disyaratkan telah berumur 6 tahun. Manakala
kambing dan lembu disyaratkan telah berusia 2 tahun dan masuk ke umur 3 tahun.
Kibash pula disyaratkan telah memasuki umur 2 tahun. [6]
Dikecualikan kepada anak kibash/al-da’n yang dipanggil al-jaz‘
umur yang lebih muda iaitu 6 bulan. Namun, pendapat yang sahih dalam mazhab
Shafie ialah genapnya setahun.[7]
Waktu ibadah korban
1.
Ibadah korban mestilah dilaksanakan
pada waktu-waktu khusus iaitu pada 10 Zulhijjah selepas solat sunat hari raya
sehinggalah tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah.
ISU ISU BERKENAAN IBADAH KORBAN
1.
Berkenaan Daging Korban
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan
bahawa seekor kambing atau kibasy tidak termasuk di kalangan binatang yang
boleh dibahagikan dagingnya kepada beberapa bahagian iaitu hanya mencukupi
sebagai korban untuk satu bahagian sahaja. Seekor unta atau lembu pula
mencukupi untuk menjadi korban bagi tujuh orang.[8]
Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berkorban bersama Rasulullah
SAW semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh
orang.” (diriwayatkan oleh jama’ah).
Dan hujah ini
dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim:
“Kami keluar bersama Rasulullah SAW
dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan kami supaya
berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang
berkongsi seekor unta.”
1.2 Hukum memakan daging korban oleh
orang yang melakukan ibadat korban:
1.
Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa
harus bagi orang yang berkorban untuk memakan daging korban miliknya.
2.
Adapun mengikut Mazhab Hanafi korban
nazar iaitu korban wajib adalah dilarang untuk dimakan oleh orang yang berkorban
sepertimana memakan anak yang lahir dari binatang sembelihan itu yang lahir
sebelum disembelih.[9]
3.
Mengikut pandangan Mazhab Maliki dan
Hanbali adalah harus daging sembelihan korban nazar dimakan oleh orang yang berkorban
seperti daging sembelihan korban sunat. Namun, yang paling dituntut adalah
dagingnya dimakan sebahagiannya, disedekahkan dan diberi makan kepada fakir
miskin. Di sisi Mazhab Maliki dan Hanafi jika daging itu dimakan semuanya oleh
orang yang berkorban atau disimpan selama 3 hari hukumnya adalah harus tetapi
dibenci (makruh). Manakala Mazhab Hanbali mengharuskan untuk memakan sebahagian
besar dagingnya.[10]
4.
Mazhab Syafi’e berpandangan bahawa korban
wajib atau nazar atau yang telah dinyatakan tujuannya dengan lafaz seperti ‘ini
adalah sembelihan korban’ atau ‘aku menjadikannya sebagai sembelihan korban’
maka tidak harus dimakan dagingnya oleh orang yang berkorban dan tanggungannya
(ahli keluarganya). Bahkan adalah wajib untuk disedahkan kesemuanya.[11]
5.
Adapun korban sunat di sisi Mazhab
Syafi’e adalah harus bahkan digalakkan kepada orang yang berkorban untuk
memakan daging korbannya. Diriwayatkan dari Baihaqi: “Bahawa Rasulullah SAW
makan daripada hati sembelihan korbannya”.
1.3 Pembahagian Daging Korban
1.
Dalam masalah pembahagian daging korban,
adapun yang paling dituntut disisi Mazhab Hanafi dan Hanbali ialah dibahagikan
daging itu kepada 3 bahagian. 1/3 untuk dimakan oleh orang yang berkorban, 1/3
untuk dihadiahkan kepada saudara maranya atau sahabat-sahabatnya dan 1/3 lagi
untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Ini berdasarkan firman Allah dalam
surah al-Hajj ayat 36 bermaksud:
“Makanlah
sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang
yang tidak meminta dan yang meminta.”
Dan Allah berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 28 bermaksud:
“Dengan
yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang Korban itu dan
berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
Berdasarkan
ayat 28 ini Mazhab Hanbali mewajibkan memberi makan kepada orang orang fakir
miskin kerana perkataan ‘berilah makan’ adalah ayat perintah.[12]
2.
Dalil yang digunakan oleh selain
daripada Mazhab Maliki tentang kadar pembahagian daging sebanyak 1/3 bahagian
ialah riwayat Ibn Abbas pada menyifatkan sembelihan Nabi SAW: “Dan baginda
memberi makan ahli keluarganya 1/3, dan memberi makan di kalangan
jiran-jirannya yang miskin 1/3, dan memberi sedekah kepada yang memerlukan/yang
meminta 1/3”. (riwayat al-Hafiz Abu Musa al-Asfahani).
3.
Manakala Mazhab Maliki berpandangan
bahawa tiada pembahagian daging dalam ibadah korban bersandarkan kepada
hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah, Jabir, Abu Said, Buraidah dan
selain mereka yang mana pada hadis-hadis tersebut Nabi ada menyatakan: “Makanlah
kamu, dan simpanlah kamu dan bersedekahlah kamu”, atau pada riwayat lain: “Makanlah
kamu, dan berilah makan, dan simpanlah kamu”.[13]
4.
Daging korban adalah harus untuk
diberikan kepada orang-orang kaya mengikut pandangan Mazhab Syafi’e sebagai
hadiah kepada mereka tanpa bertujuan untuk berjual beli dengannya.
5.
Mengikut pandangan lama Mazhab
Syafi’e orang yang berkorban boleh makan separuh dan separuh yang lain
disedekahkan. Namun, pandangan yang baru pula mengharuskan orang yang berkorban
untuk makan 1/3 daripada sembelihan korbannya. Namun yang paling tepat ialah
wajib disedekahkan sebahagian walaupun sedikit daripada dagingnya. Paling afdal
adalah memberi sedekah kesemua daging korban kecuali sedikit sekadar untuk
mengambil berkat dari ibadah korban.[14]
6.
Orang yang berkorban sunat mengikut
pendapat Mazhab Syafi’e boleh menyedekahkan kulit binatang sembelihannya
ataupun untuk memanfaatkannya seperti harusnya memanfaatkan dagingnya. Paling
afdal adalah disedekahkan kesemuanya. Adapun korban wajib maka orang yang berkorban
tidak harus untuk memanfaatkan kulitnya.[15]
1.4.Hukum memanfaatkan
bahagian-bahagian badan binatang Korban
1.
Diharamkan jual beli bulu, lemak,
daging, bahagian-bahagian badan, kepalanya, kulit, rambut, dan susu binatang korban
yang diperah selepas disembelih korban. Nabi SAW telah memerintahkan supaya
kulit binatang korban dibahagikan dan melarang jual beli padanya, sabda Nabi
SAW:
“sesiapa yang menjual kulit binatang-binatang korbannya, maka tiada
korban baginya”. (riwayat Hakim dan Baihaqi).[16]
2.
Bahagian-bahagian anggota badan
binatang korban juga tidak diharuskan untuk diberi kepada penyembelih iaitu
sebagai upah untuknya. Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW
bersabda:
“Rasulullah
telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar),
dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak
memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. Dan Ali telah berkata:
“kami memberikan upahya (secara berasingan) daripada kutipan sesama kami”.
(Muttafaqun Alaih).[17]
3.
Namun, jika pemberian kepada
penyembelih itu atas dasar kemiskinan atau sedekah bukan atas dasar upah (upah
diberi berasingan) maka hukumnya adalah harus.
4.
Bagi orang yang berkorban pula
diharuskan untuk memanfaatkan kulit binatang sembelihannya. Namun di sisi
Mazhab Hanafi mengangap ia termasuk dalam bab ‘istihsan’ jika seseorang itu membeli
sesuatu menggunakan kulit binatang sembelihan tersebut dengan syarat barang
yang dibeli atau barang tukaran tersebut hendaklah sesuatu yang kekal dan bukan
sesuatu yang musnah seperti dinar, dirham, makanan atau minuman. Dalil tentang
harusnya memanfaatkan kulit binatang sembelihan adalah perbuatan Aisyah yang
menjadikan kulit binatang sembelihan sebagai bekas air. Namun Mazhab Maliki
menghukumkan makruh jika digunakan sebagai bekas makanan atau minuman orang
yahudi dan nasrani.[18]
1.5 Hukum memberi daging atau
bahagian badan binatang sembelihan korban kepada orang kafir:
1.
Imam al-Nawawi menukilkan daripada
Ibn Munzir Ijma‘ Ulama bahawa adalah harus memberi makan daging Korban kepada
fakir miskin Muslim. Mereka berselisih pendapat berkenaan memberi makan daging Korban
kepada Ahli Zimmah. Abu Hanifah, Hasan al-Basri dan Abu Thaur membenarkannya.
Imam Malik pula lebih suka mengutamakan Muslimin. Imam Malik mengaggap makruh
memberikan kulit binatang Korban kepada orang Kristian.
Adapun pegangan mazhab Shafie, menurut Imam al-Nawawi, harus
memberi makan kafir Zimmi daripada daging sembelihan Korban Sunat, bukan Korban
wajib seperti nazar.[19]
2.
Mengikut pandangan Mazhab Hanbali
adalah harus memberi daging kepada orang kafir jika ianya adalah korban Sunat.
Adapun korban wajib maka tidak diharuskan.[20]
3.
Menurut pandangan Syeikh Soleh
Uthaimin, seseorang itu boleh memberikan daging Korban kepada orang kafir
sebagai sedeqah selagi orang kafir itu tidak memerangi dan membunuh orang
Islam. Jika dia seorg kafir yang memerangi orang Islam, maka tidak boleh
memberinya apa-apa. Ini bermakna hanya kafir zimmi sahaja yang diberi kelebihan
untuk menerima daging korban. Pendapat ini dikuatkan dengan firman Allah dalam
surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9 maksudnya:
“Allah
tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang
yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari
negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang
yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu
(orang lain) untuk mengusirmu. Dan barang siapa menjadikan mereka sebagai
kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.[21]
4.
Fatwa dari Lajnah Da'imah lil Buhuth
al-'Alamiyah wa al-Ifta' pula berpendapat harus untuk memberi makan daging korban
kepada orang kafir yang membuat perjanjian damai dan juga tebusan dari kalangan
orang kafir. Boleh memberinya kepada orang kafir yang miskin, kaum kerabat,
jiran atau mu'allaf, kerana menyembelih daging Korban ini adalah korban dan
ibadat kepada Allah semata-mata. Yang lebih afdhal, dagingnya dimakan
sepertiga, sepertiga lagi diberikan kepada kerabat, jiran dan teman, dan
sepertiga lagi disedeqahkan kepada orang fakir. Jika dilebihkan atau
dikurangkan bahagian ini maka tidak mengapa. Tidak boleh memberikan daging korban
ini kepada orang kafir yang memerangi orang Islam, kerana kita wajib
menjatuhkan dan melemahkannya serta tidak menguatkannya dengan sedekah. Itu adalah
hukum dalam memberi sedekah kerana umum dalam firman Allah ini:
“Allah
tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang
yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari
negerimu”.[22]
5.
Di Negara kita Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa tidak harus mengagih dan memberi makan daging Korban kepada orang
bukan Islam.[23]
Kesimpulannya,
ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya haram,
ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab Hanbali, Hanafi pula mengatakannya
harus kerana ia bukannya sedekah wajib. Namun satu perkara yang tiada khilaf di
kalangan ulama’ ialah mengutamakan umat Islam. Oleh itu dalam hal ini, umat
Islam perlu didahulukan, tetapi tidak menjadi kesalahan memberikannya kepada
orang kafir ahli al-zimmah.
2.
Hukum Memindahkan Daging Korban/ Melakukan
Ibadah Korban ke Tempat Atau Negeri/Negara lain:
1.
Mazhab Hanafi berpendapat bahawa
makruh hukumnya memindahkan sembelihan korban ke negeri lain seperti zakat,
kecuali jika diberikan kepada saudara maranya yang berada di negeri lain atau
kepada penduduk negeri lain yang lebih berhajat kepada daging itu berbanding
penduduk di negeri sendiri.[24]
2.
Mazhab Maliki pula berpandangan
bahawa tidak diharuskan memindahkannya ke kawasan atau negeri yang jaraknya
tidak jauh dari tempat korban tersebut dilaksanakan, kecuali penduduk kawasan
tersebut lebih berhajat daripada penduduk di kawasan atau negeri sendiri.
3.
Mazhab Hanbali dan Syafi’e juga berpandangan
seperti Mazhab Maliki.[25] Hukumnya adalah harus menurut mazhab Shafie berasarkan kaedah
qiyas dengan pengeluaran zakat di luar Negara di mana sepatutnya didahulukan
tempat sendiri.[26]
4.
Di Malaysia Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang
bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa harus mengagihkan daging Korban
ke tempat atau negara lain.[27]
Berkenaan melakukan ibadat Korban di luar negeri/Negara, Sheikh
Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Shanqiti berpendapat bahawa ibadah Korban
di luar Negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadat Korban.
Tetapi yang afdalnya dilakukan di kawasan tempat tinggalnya. Lebih afdal lagi
sekiranya dilakukan ibadat Korban di kawasan kediamannya dan juga di luar
Negara yang berdepan dengan kesukaran.[28] Dr. Nazim al-Misbah juga
menyokong pandangan ini. Beliau menolak pandangan yang mendakwa ibadat Korban
di luar Negara adalah sama dengan sedekah biasa[29]. Menurutnya lagi pendapat
ini tidak ada dalil yang kuat. Bahkan ia bercanggah dengan fakta yang meyatakan
bahawa Rasulullah SAW mewakilkan Sayyidina Ali untuk melakukan penyembelihan Korban
baginda ketika Haji Wada’.
Kesimpulan, yang afdal dan hukum asal bagi ibadah Korban ialah
dilaksanakan di negeri sendiri. Sekiranya dibuat di luar Negara, tidak menjadi
kesalahan. Bagi mereka yang mampu, boleh buat dua dua sekali.
3. Pantang Larang Bagi Mereka yang Ingin Melakukan Ibadat Korban
Disunatkan kepada mereka yang hendak melakukan ibadat Korban
apabila masuk satu haribulan Zulhijah, agar tidak memotong kuku atau
mencukur/menggunting rambut, ataupun mana mana bulu di badan sehinggalah
dilakukan ibadat Korban. Al-Imam Al-Shirazi berpendapat bahawa ia tidak wajib
kerana mereka bukan berihram sebagaimana yang dilakukan oleh Jemaah haji. Ini
adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ummi Salamah: “Sesiapa yang akan
melakukan sembelihan Korban, apabila kelihatan Hilal Zulhijjah maka janganlah
dia menyentuh kuku atau rambutnya sehinggalah disempurnakan ibadat Korban”.
Hadis riwayat Muslim.
Imam al-Nawawi berkata Ulama mazab Syafie menanggap bahawa hukumnya
adalah makruh Karahiyat al-Tanzih berdasarkan hadis di atas. Inilah
pegangan mazhab Shafie. Ada juga sebahagian ulama mazhab Syafie seperti
Al-Rafie menganngap hukumnya adalah haram. Ini selari dengan pandangan Said Ibn
Musayyab, Imam Ahmad dan Rabiah yang mengaanggapnya haram.
Mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah tidak menganggap makruh (harus) perbuatan
potong kuku atau rambut bagi mereka yang ingin melakukan ibadat Korban.
Di antara hikmah dilarang perbuatan tersebut ialah supaya semua
anggota badan pelaku Korban diselamatkan daripada api neraka dan juga untuk
mencontohi mereka yang berada dalam ihram haji walaupun tidak dilarang hubungan
suami isteri dan juga wangian.[30]
4. Program Korban yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa dan Institusi
Kerajaan/Swasta
Di dalam mazhab Shafie, harus bagi pemerintah menggunakan
peruntukan Bait al-Mal untuk melakukan ibadat Korban (menghidupkan syiar
ibadah) bagi masyarakat Islam.[31] Berdasarkan pendapat ini,
boleh diqiyas keharusannya kepada badan-badan kerajaan dan juga swasta.
Persoalannya, adakah sah ibadat Korban tersebut atau ia sama dengan sedekah?
Sepatutnya ibadah ini dilakukan oleh individu Muslim, dan oleh kerana ia adalah
ibadat, maka perlu kepada niat. Tidak dapat digambarkan berlakunya niat
daripada entity undang undang (legal entity).
Dicadangkan kepada syarikat syarikat ataupun institusi kerajan
ataupun swasta supaya diberikan kepada fakir miskin (dimilikkan) binatang
ternakan samada lembu atau kambing yang akan disembelih Korban. Tujuannya ialah
mereka berpeluang melakukan ibadat Korban dengan menjadi pemilik kepada
binatang Quran atau sebahagian daripadanya (1/7) dan mereka akan menunaikan
niat korban ketika melakukan kerja-kerja penyembelihan. Namun, ia perlu kepada
pematuan supaya penyembelihan akan betul betul berlaku dan menepati kehendak
Syarak. Dengan itu tidak dicadangkan pemilikan diberika sebelum penyembelihan.
Tujuannya ialah supaya haiwan itu tidak dijual hidup hidup untuk mendapatkan
duit tunai.
5.
Melakukan Ibadat Korban Bagi Mereka
yang Sudah Meninggal[32]
Ibadah Udhiyyah/Korban adalah sunnah mu’akkadah kepada mereka yang
hidup dan berkemampuan. Ia sah dilakukan untuk diri sendiri dan juga ahli
keluarga yang masih hidup. Adapun ke atas mereka yang sudah meninggal, tidak
wajib lagi ke atas mereka kecuali sekiranya si mati mewasiatkan atau bernazar
untuk melakukannya sebelum mati. Ulama berselisih pendapat apakah sah hukumnya
sekiranya dilakukan ibadah Korban untuk simati tanpa wasiat atau nazar.
Pendapat pertama: Tidak sah, kecuali simati berwasiat demikian. Ini
adalah pendapat mazhab Shafie sebagaimana yang disebut oleh Imam Nawawi di
dalam kitab al-Minhaj. Disebut oleh Sheikh Taqiyyuddin al-Husaini di dalam
kitabnya Kifayat al-Akyar, bahawa pendapat yang al-Asahhu (yang dipilih)
dalam mazhab Shafie ialah tidak sah melakukan ibadat korban bagi simati kecuali
simati berwasiat demikian.[33]
Pendapat kedua: Sah dilakukan Korban kepada simati secara
berasingan daripada yang hidup sebagai tabarru‘ berdasarkan kaedah qiyas dengan
perbuatan sedekah. Pendapat ini
dinisbahkan kepada sebahagian daripada ulama mazhab Hanbali.
Pendapat ketiga: Makruh. Ini adalah pendapat Imam Malik kerana
tidak sabit amalan ini dari Rasulullah.
Penulis berpendapat perbutatan ini tidak berapa digalakkan kerana
tidak dilakukan oleh Rasulullah kepada keluarga Banginda yang sudah meninggal.
Para sahabat juga tidak melakukannya kepada keluarga mereka yang sudah
meninggal.
6.
Wakalah Dalam Ibadah Korban
Pada dasarnya, orang yang berkorban
digalakkan untuk menyembelih sendiri binatang korbannya jika berkemampuan
kerana ianya adalah satu ibadah sperti ibadah-ibadah yang lain yang bertujuan
untuk taqarrub kepada Allah. Bahkan Nabi sendiri pernah menyembelih beberapa
ekor binatang korban dengan tangannya sendiri. Namun, tidak menjadi kesalahan
jika orang yang berkorban mewakilkan kepada orang lain untuk menjalankan ibadah
korban bagi pihaknya. Para Fuqaha berpendapat bahawa sah
dan harus berwakil membeli binatang Korban dan aqiqah dan begitu juga untuk
menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan
beraqiqah itu.
Sepertimana
kebiasaan di negara kita, ibadah korban dijalankan oleh beberapa syarikat atau
organisasi yang bertanggungjawab menguruskan ibadah korban dan aqiqah. Pada
kebiasaannya organisasi ini akan menjadi wakil kepada orang yang hendak
menunaikan ibadah korban. Mereka bertanggungjawab untuk membeli, menyembelih
dan mengedarkan daging-daging korban tersebut. Manakala orang yang berkorban
hanya perlu menyediakan wang untuk membeli bahagiannya sahaja tanpa perlu
menguruskan segala urusan penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum,
perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakalah.
6.1 Konsep Wakalah:
Wakalah dari
segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan.
Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara
ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh
diwakilkan. Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘
ulama. Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:
I.
Muwakkil (orang yang berwakil)
II.
Wakil /Muwakkal (orang yang
dijadikan wakil)
III.
Muwakkal fihi (sesuatu yang
diwakilkan)
IV.
Shighah (ijab dan qabul).
Syarat-syarat wakil dalam ibadah korban:
1.
Hendaklah seorang Muslim dan bukan
ahli kitab kerana sembelihan ahli kitab adalah makruh. Tambahan pula tujuan
sembelihan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Adapun majusi adalah
diharamkan sembelihannya.[34]
2.
Hendaklah mendapat keizinan orang yang
berkorban.
3.
Memenuhi syarat-syarat mukallaf.
Hukum upah bagi wakil:
1.
Ulama’ sepakat mengatakan bahawa
wakil atau penyembelih tidak boleh mengambil bahagian daripada sembelihan korban
sebagai upah kerana terdapat larangan yang keras daripada Nabi SAW di dalam
hadis Sayyidina Ali:
“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya
(iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota
badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”.
(Muttafaqun Alaih).
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa wakil atau penyembelih tidak
boleh menetapkan bahagian daripada binatang korban itu sebagai upahnya.
2.
Jika hendak memberi upah hendaklah
menggunakan peruntukkan lain selian dari daging korban. Ali r.a berkata:
“Nabi
s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik Baginda kemudian
menyedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu
(seperti pelana dan seumpamanya) serta aku juga tidak memberi apa pun kepada
tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami
sendiri”. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya)
Hujjah lain, pada dasarnya upah
untuk ibadah adalah diharuskan seperti upah haji dan umrah. Adapun
ibadah-ibadah yang tidak memerlukan belanja dan usaha yang keras maka tidak
diharuskan padanya sebarang upah.
Larangan dijadikan upah sebahagian daripada daging Korban adalah
kerana daging daripada penyembelihan korban adalah bertujuan untuk ibadah korban
dan kebajikan. Dengan itu ia tidak boleh dijadikan balasan/upah kepada kerja
(pengurusan penyembelihan).
6.2 Kaedah Kaedah Wakalah di dalam Ibadah Korban:
1.
Wakalah berbentuk penyerahan
binatang korban:
Penyerahan
binatang korban kepada wakil haruslah melalui pernyataan yang jelas dalam jenis
korbannya samaada sunat atau wajib dan urusan yang diserahkannya samada
menyembelih saja atau juga membahagikan dagingnya kepada pihak ketiga. Oleh
kerana itu harus ada shighah yang jelas antara orang yang berkorban dengan
wakil tersebut dan kedua-dua pihak harus memenuhi rukun-rukun wakalah iaitu Muwakkil
(orang yang berwakil), Muwakkal (orang yang dijadikan wakil), Muwakkal fihi
(sesuatu yang diwakilkan) dan Shighah (ijab dan qabul). [35]
أركانها اربعة موكل
ووكيل وموكل فيه وصيغة ويكفى فيها اللفظ من أحدهما وعدم الرد من الأخر كقول الموكل
وكلتك بكذا او فوضته إليك ولو بمكاتبة او مراسلة (الباجورى جزء 1 ص : 296 )
2.
Wakalah berbentuk penyerahan wang:
Dengan cara ini urusan ibadah korban dapat dilakukan dengan mudah.
Melalui cara ini orang yang ingin melakukan ibadat korban akan menyerahkan
sejumlah wang yang sama nilai dengan sebahagian atau seekor binatang korban
kepada wakil. Wakil tersebut akan menguruskan segala urusan ibadah korban bagi
pihaknya. Dalam hal ini menurut pandangan ulama hukumnya adalah harus.
Penjelasan tentang keharusan wakalah melalui penyerahan wang dijelaskan
dalam kitab I’anah al-Talibin:[36]
للصواب: في فتاوي العلامة الشيخ محمد بن سليمان الكردي
محشي شرح ابن حجر على المختصر ما نصه: (سئل) رحمه الله تعالى: جرت عادة أهل بلد جاوى
على توكيل من يشتري لهم النعم في مكة للعقيقة أو الأضحية ويذبحه في مكة، والحال أن
من يعق أو يضحي عنه في بلد جاوى فهل يصح ذلك أو لا؟ أفتونا. (الجواب) نعم، يصح ذلك،
ويجوز التوكيل في شراء الأضحية والعقيقة وفي ذبحها، ولو ببلد غير بلد المضحي والعاق
كما أطلقوه فقد صرح أئمتنا بجواز توكيل من تحل ذبيحته في ذبح الأضحية، وصرحوا بجواز
التوكيل أو الوصية في شراء النعم وذبحها، وأنه يستحب حضور المضحي أضحيته. ولا يجب.
وألحقوا العقيقة في الاحكام بالأضحية، إلا ما استثني، وليس هذا مما استثنوه، فيكون
حكمه حكم الأضحية في ذلك. وبينوا تفاريع هذه المسألة في كل من باب الوكالة والإجارة
فراجعه.
Dalam
kitab Fatawa Syeikh Sulaiman al-Kurdi Muhasyyi Syarah Ibni Hajar ‘ala
al Mukhtashar terdapat suatu pertanyaan: Beliau telah ditanya:
“Telah
berlaku kebiasaan penduduk Jawi mewakilkan kepada seseorang agar membelikan haiwan
ternakan untuk mereka di Makkah sebagai aqiqah atau korban dan agar menyembelihnya
di Makkah, sementara orang yang melakukan ibadat tersebut berada di Jawa.
Apakah hal demikian itu sah atau tidak? Mohon diberikan fatwa. Jawabannya “Ya,
demikian itu sah. Diperbolehkan mewakilkan dalam pembelian binatang korban dan
aqiqah dan juga penyembelihnya sekalipun tidak dilaksanakan di negara orang
yang berqorban atau beraqiqah itu.”..
Di antara kesilapan yang biasa
berlaku ialah tidak dinyatakan akad perwakilan (wakalah) ketika mengambil
tempahan. Tidak juga dibezakan antara wakalah secara mutlak ataupun secara
khusus. Perwakilan secara khusu berlaku apabila mereka yang melakukan ibadat korban
mewakilkan seseorang tukang sembelih yang dikenalpasti untuk melakukan
penyembelihan, di samping ditentukan haiwan sembelihan. Bagi wakil yang akan
mewakili pihak ketiga untuk menguruskan ibadah korban terutamanya di luar
negara, perlu dinyatakan dengan jelas perwakilan adalah secara mutlak.
Wakalah Bersama Dengan Upah (wakalah
bi al-ajr)
Apabilah wakalah disertakan dengan
upah, hukumnya bertukar kepada ijarah, iaitu upah kepada sesuatu pekerjaan. Ini
dianggap sebagai aqad mu‘awadah seperti jual beli. Di antara kesan fiqh
ialah ia berubah daripada kontrak yang tidak mengikat (non binding/ghair
lazim) kepada kontrak yang mengikat (binding/lazim), dengan erti
kata pembatalannya mestilah dengan persetujuan kedua dua pihak (muwakkil dan
wakil). Jumlah upah juga mestilah diketahui kerana gharar (ketidaktentuan) di
di dalam aqad mu‘awadah membatalkan kontrak. Sebagai contoh, sekiranya disebut
harga kambing seekor RM500, perlu dijelaskan berapa upah kepada wakil yang akan
melakukan kerja penyembelihan dan pengurusan ibadah korban. Diantara kesilapan
yang kerap berlaku ialah tidak disebut berapa upah.
Di antara alternatif adalah seperti
berikut:
1.
Disebut bahawa RM500 adalah harga
sebahagian korban termasuk kos pengurusan dan upah. Perlu dinyatakan termasuk upah. Ini
boleh diterima sekiranya penyembelihan dan urususan penyelenggaraan dilakukan
sendiri oleh penganjur seperti masjid atau surau.
2.
Adapun bagi mereka yang mengutip
wang penyertaan ibadah Korban, kemudian mewakilkan pihak lain, dan mengambil
upah, perlu dinyatakan jumlah upah. Contohnya Harga kambing RM450, upah RM50.
3.
Menganggarkan/menentukan nilai
seekor kambing atau 1/7 lembu, contohnya RM500, baki diberikan kepada wakil
ataupun kepada masjid/badan kebajikan/sekolah agama/rumah anak yatim dll.
Contoh: “Saya bayar duit RM500 ini untuk sebahagian lembu korban, yang
selebihnya/baki adalah untuk kamu.” atau “Saya bayar duit RM500 ini untuk
sebahagian lembu korban, yang selebihnya/baki adalah untuk masjid.”
Konsep
ini disebut oleh fuqaha sebagai:
إذا
قال الموكل للوكيل: بع العين بكذا، فما زاد فهو لك
“Apabila
berkata pewakil kepada wakil: “Juallah barang ini dengan sekian-sekian, apa
yang lebih adalah untukmu”
Di antara ulama yang yang mengharuskan konsep ini (upah bersyarat)
ialah Ibn Abbas, Al-Zuhri, Qotadah, Ayub al-Sakhtiyani, Ibn Sirin, Al-Sya’bi, Hassan
al-Basri, Ishaq Ibn Rahawaih, Ahmad bin Hanbal,dan juga ulama mazhab Hanbali.[37]
Ulama yang membenarkan kaedah ini juga mengharuskan membeli dengan harga
sekian, sekian, sekiranya harga yang diperolehi lebih rendah, maka perbezaan
harga itu deberikan kepada wakil. Contoh, “Belikan saya sebahagian lembu korban
dengan harga RM500, sekiranya kamu boleh dapatkan harga yang lebih rendah,
perbezaan harga saya berikan kepada kamu.”
Perlu diingatkan supaya tidak berlaku ghubn iaitu kerugian
disebabkan penipuan bagi muwakkil iaitu pelaku ibadah korban di mana, kadang
kadang lembu yang disembelih adalah yang kurus atau tidak cukup sharat sah
sembelih, kerana dibeli dengan harga yang begitu rendah disebabkan pengambilan
upah yang tinggi.
Dicadangkan
bagi mereka yang menganjurkan ibadat korban secara komersial, agar mengabil
upah secara berpatutan menurut uruf, sebagaimana Al-Quran membenarkan penjaga
anak yatim mangambil upah di atas kerjanya sekiranya tidak ada kemampuan dengan
syarat ianya berpatutan menurut uruf semasa dan tempat pengurusan korban “bi
al-makruf”. Aktiviti ini juga perlu kepada pamatauan pihak berkuasa supaya tidak
berlaku penipuan.
KESIMPULAN
Ibadah korban merupakan ibadah yang
mulia di sisi Allah SWT dan ganjaran amatlah besar. Di dalamnya terkandung
seribu satu hikmah. Oleh kerana ianya adalah sunat muakkad, umat Islam amat
digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban, tambahan pula pada masa kini
terdapat banyak kemudahan yang dapat membantu memudahkan lagi ibadah ini
dijalankan.
Namun, dalam kesibukan kita mengejar
ibadah ini jangan sampai terlepas pandang akan syarat-syarat dan sunnah-sunnah
yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Supaya ibadat korban dilaksanakan dengan sempurna, kefahaman
tentang hukum hakam yang berkaitan dengan ibadah korban sangatlah penting. Perhatian
juga perlu diberikan dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan
seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas
supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati kehendak Syara’.
Aktiviti penganjuran ibadat korban
secara komersial perlu kepada pematauan pihak berkuasa untuk memastikan
pelaksanaan dilakukan dengan sempurna termasuklah aqad wakalah, penentuan harga
dan upah dan pengagihan supaya patuh kepada Shariah. Pengajur juga mestilah
berwaspada dan melaksanakannya dengan cara yang penuh perihatin dan tekun
kerana ia adalah amanah daripada orang ramai dan dipersoalkan pada hari
Qiyamat.
Wallahu a‘lam.
[1]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, (Dimasyq: Dar al-Fikr, Edisi ke-6.
2008), jil. 3, ms. 597
[2]. Ibid, 598
[3]. Ibn Rushd,
Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Al-Qahirah: Dar al-Hadis, 2004),
jil. 2, ms 192
[4]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 601
[5]. Ibn Rushd,
Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, jil. 2, ms 192
[6]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 615
[7] Kifayat al-Akyar, ms.528.
[8]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 615
[9]. Ibid., 627
[10]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 627-628
[11]. Ibid., 630
[12]. Skheikh Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 628
[13]. Ibid., 628
[14]. Ibid., 630
[15]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 631
[16]. Ibid., 629
[17]. Ibid., 629
[18]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 629
[19] Imam al-Nawawi, al-Majmu‘
Sharh al-Muhazzab, ibid. jilid 8, ms. 404.
[20]. Ibid., 629
[24]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 630
[25]. Ibid., 630
[26] Imam Taqiyuddin
al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.534.
[28] http://ar.islamway.com/fatwa/5759.
Accessed 11/10/2012.
[29] http://www.alaan.cc/pagedetails.asp?nid=121971&cid=30.
11/10/2012.
[30] Imam al-Nawawi, al-Majmu‘
Sharh al-Muhazzab, Jeddah:Maktabah al-Irshad, Jilid 8, ms. 362/363
[31] Imam Taqiyuddin
al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.528.
[32] http://www.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=93307.
Accessed 11/10/2012
[33] Imam Taquyiddin , Abu
Bakar Muhammad al-Husaini, Kifayat
al-Akhyar, Beirut 1991, Dar al-Khair, ms.528.
[34]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 603
[35]. Hasyiat
al-Bajuri, jilid 1, ms. 296.
[36]. Al-Bakri
al-Dimyati, I’anat al-Tolibin, (1992), jil. 2, ms. 381
[37] Musannaf Abd
Al-Razzaq, (15018), Ibn Qudamah, al-Kafi, jilid
2, ms. 252.
Jazakallah khair for sharing it with us
ReplyDeleteMaaf bertanya..kenapa tidak boleh orang yang sudah meninggal sebagai penama untuk qurban?
Deletenama ibadah itu korban.. bagaimana si mati boleh berkorban sedangkan kehendak kehidupan itu telah hilang.. korban ialah memberi sebahagian harta ketika hati itu masih berkehendak atasnya.. kalau dah tiada, tiadalah semangat korban itu.. tiada rasa sayang akan harta yang akan dikorbankan itu..
Deleteassalamualaikum...
ReplyDeletemohon utk dikongsikan bersama
jazakumuLllah
Bagaimana cara untuk pihak masjid menguruskan ibadah korban yang diberi oleh pemerintah atau Wang kerajaan.siapakah penama atau individu yang sepatutnya diniatkan semasa sembelihan.
ReplyDeleteArtikel sangat menarik cuma sertakan dalil Alquran berserta ayatnya sekali barulah sesuai cara ambil hujjah dengan dalil Quran.Tq
ReplyDelete